Kampung Permatang Sungai Manik didiami daripada masyarakat suku kaum banjar. Masyarakat suku kaum banjar terkenal dengan pelbagai makanan dan manisan yang menjadi juadah masyarakat daripada dahulu sehinggalah sekarang. Berikut merupakan makanan tradisional masyarakat suku kaum banjar.

Wadai kepeng.

Wadai kepeng ini pada masa dahulu disediakan selepas selesai menanam padi ataupun di sebarang majlis doa kesyukuran atau doa selamat. Proses menyediakan kuih ini tidaklah sukar dan selalunya masyarakat Banjar akan membuatnya secara bergotong-royong. Cara menyediakan wadai kepeng ini adalah menggunakan tepung pulut, garam dan air suam. Semua bahan tersebut akan diuli bersama sehingga menjadi doh. Kemudian doh tersebut perlu diambil di dalam kuantiti yang sedikit dan bentukkan menjadi bulat kemudian dipicit sedikit agar menjadi leper. Seterusnya, proses membuat kuahnya pula adalah menggunakan santan, air, gula putih, gula merah dan garam. Semua bahan itu akan dimasak bersama sehingga mendidih. Apabila kuah tersebut mendidih barulah dimasukkan adunan tepung yang telah dibentuk tadi. Kesemua bahan tersebut perlu dikacau supaya tepung tadi tidak melekat. Bagi memastikan bahawa juadah ini telah siap dimasak adalah dengan melihat tepung tersebut telah timbul kemudian tenggelam kembali ke dalam kuah.

Kuih kalakatar.

Kuih kalakatar hampir sama seperti bengkang tetapi cara membuatnya menggunakan isi kelapa muda dan air kelapa muda. Kuih ini enak dimakan semasa panas. Cara membuat kuih ini dianggap renyah oleh itu sukar untuk membuatnya dan masih ramai orang banjar yang tidak mahir untuk membuat kuih ini. Resipi bagi menyediakan kuih ini adalah dua cawan tepung gandum, satu biji telur ayam, gula secukup rasa dan sedikit garam. Kemudian campurkan campuran air dan isi kelapa muda, tepung, gula, telur dan garam hingga sebati. Ambil bekas untuk memasak, sapukan sedikit minyak pada bekas berkenaan dan masukkan adunan kuih ke dalam bekas berkenaan. Kuih ini boleh dimasak dengan cara bakar mahupun kukus. Namun kebanyakkan orang yang menjual kuih ini akan memasaknya dengan cara bakar. Kuih ini ternyata enak dimakan dan hanya terdapat di kawasan yang mempunyai masyarakat banjar.

Bahalong ahyam.

Balongan ahyam merupakan kuih tradisional yang diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang masyarakat Banjar yang datang dari Banjarmasin Indonesia. Sebelum ini, kuih ini hanya disediakan untuk hidangan keluarga pada bulan Ramadan tetapi sudah dipasarkan bagi menambah pendapatan keluarga. Kuih ini tidak terlalu susah untuk dibuat kuih  kerana ia hanya mengunakan bahan seperti kelapa, gula merah, gula putih, daun pisang dan dikukus selama. Rasanya pula enak manis seperti dodol.

Ikan wadik.

Ikan Wadik ini seakan-akan pekasam namun tidak masam. Cara penyediaan ikan wadik ini adalah dengan menggunakan ikan daripada jenis ikan darat seperti sepat atau puyu yang banyak terdapat di kawasan penanaman padi. Memandangkan Mukim Sungai Manik merupakan salah satu tempat pengeluar padi yang terbesar maka bagi mencari ikan dari jenis ini adalah tidak sukar diperolehi dan banyak didapati di sini. Bagi penyediaan ikan wadik ini, ikan-ikan tersebut akan diletakkan di dalam guri atau balang. Ikan tersebut akan disusun secara berlapis-lapis sambil meletakkan garam di atas ikan tersebut. Terdapat juga orang yang menyediakan ikan ini menaburkan beras goreng atau asam keping di dalamnya. Untuk menikmati ikan tersebut perlu menunggu sehingga sebulan. Ianya bagi memastikan ikan-ikan tersebut benar-benar terperap dan sebati dengan bahan-bahan yang telah dimasukkan di dalam ikan tersebut. Cara memasak ikan wadik ini adalah dengan menggoreng bersama bawang besar dan cili padi serta dimakan panas-panas bersama nasi putih. Hidangan ini nyata dapat membangkitkan selera kepada orang yang menikmatinya.